Tuesday 19 April 2011

Dakwah & Cinta di Jalan Allah-part 1

Muqaddimah

Ya Akhi Fillah,

Salam Allah (s.w.t) kepada kamu: rahmat dan berkatNya kepada kamu.Manusia memperkatakannya kerana adat, tetapi kita mengucapkan sebagai 'ibadat kita. Kita mengucapkannya (as salam itu) kerana kita merasakannya sebagai satu pengertian yang agung. Salam Allah (s.w.t) kepada kamu wahai kekasih; rahmat dan berkatNya kepada kamu.Aku merasakan seolah-olah aku berdiri di dalam satu mihrab salat, di dalam kehalusan doa' yang benar, yang membawa cinta dan kasih sayang. Lalu sepontan aku berkata di waktu aku berada di atas kemuncak keikhlasanku dan kesetiaanku kepada saudara:

"Salam Allah (s.w.t) kepada kamu dengan rahmat dan berkatNya".

Itulah doa' yang sempurna yang ku doa'kan untuk kamu dengan salam sejahtera dan berkat dari Allah (s.w.t). Itulah doa' dari hati yang mencintaimu walaupun tanpa melihatmu. Ketahuilah bahawa orang yang paling ku cintai di dalam diriku ialah orang yang ku lihat dengan hatiku di mana hati itu adalah perbendaharaan rahmat, cinta dan kehidupan. Dialah juga yang membezakan dari yang lain, beza dari aspek kebaikan, kebenaran (al-haq), cita rasa, keindahan dan rasa malu.

 sifat malu berkuasa menawan hati dan keindahan berkuasa menawan akal

Inilah wasiatku yang pertama kepada kamu. Jadilah kamu satu penjelmaan untuk kebaikan, untuk al-haq, untuk perasaan, untuk sifat malu dan untuk keindahan. Sifat malu berkuasa menawan hati dan keindahan berkuasa menawan akal. Kein¬dahan yang ku maksudkan di sini ialah tampak jelasnya sinar jiwa tergambar pada keserian wajah.

Firman Allah Taala:

"Tanda-tanda mereka, tampak pada muka-muka mereka lantaran bekas sujud"
(Al-Fath: 29)

Apabila saudara melihat kepada wajah-wajah mereka ini seperti demikian, maka bahawa merekalah petunjuk kepada al-haq dan an-nur.

Firman Allah Taala:

"Sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka".
(At-Tahrim:8)

FirmanNya lagi:

"Yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mu'min, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir".
(Al-Maaidah: 54)

Inilah keindahan al-haq. Adapun sifat malu itu, disinilah terletak keindahan orang yang pemalu, tetapi bersinar. Tatkala berkata-kata ia menarik dan menawan hati dan jiwa.

Benarlah Rasulullah (s.a.w) yang bersabda:

"Sifat malu itu baik semuanya dan tiap-tiap agama mempunyai akhlaknya dan akhlak agama ini ialah sifat malu".

Manusia yang memberikan kebaikan (al-khair) ini, dia bercita-cita padanya dan menunggu-nunggu daripadanya. Jadi orang-orang yang mempunyai bakat-bakat itu, mesti menjadi lilin untuk manusia dan menjadi pendukung da'wah (du’at) kerana mereka telah dikurniakan oleh Allah (s.w.t) sifat-sifat yang baik dan akhlak yang mulia. Mereka berdiri dipangkal jalan ar-Rahman yang memanggil manusia dengan kalimat Allah (s.w.t):

"Dan bahwa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalanNya".
(Al-An'aam: 153)

 alam ini berhajat kepada hati, perasaan, dan sentimen


Ya Akhi,

Alam ini berhajat kepada hati, perasaan dan sentimen. Jadilah kamu sebagai hati bagi alam ini dan hidupkanlah dia dengan perasaan dan sentimen kamu. Sesungguhnya manusia yang hidup tanpa hati, perasaan, sentimen walaupun ia mempunyai falsafah, teori atau pengalaman, tetapi manusia ini tidak akan menjadi manusia sebenarnya jika tidak mempunyai penilaian nafsiah dan rohaniah. Sebaliknya ia hanya menjadi manusia robot dan komputer, yang memenuhi tugas dan kepentingan manusia.

Sesungguhnya manusia itu, adalah hati, ruh dan perasaan. Jika perasaan itu kurang di dalam pemberian pujian, maka itu bukan perasaan mutlak yang bebas tanpa ikatan dan batas. Sesungguhnya perasaan itu, adalah denyutan, kcsedaran dan kehidupan di mana mesti diikat dengan usul syari'ah. Orang-orang yang berkira bicara dengan perasaan jahiliyah, tidak akan berdiri di atas tapak yang sama dengan perasaan yang bersih dan suci, yang menjadi rahsia hidup seorang muslim dan itulah rahsia kewujudan rohaninya.

Sesungguhnya adalah imam kita, al-Imam as-Syahid Hassan Al- Banna (rahimahullah) mengetahui hakikat ini di dalam kata-katanya:

"Wahai saudara, kekanglah urusan perasaan dengan pandangan aqal dan sinarilah pandangan aqal dengan nyalaan perasaan".

Sesungguhnya perasaan saudara yang muslim itu diikat dan dipagari dengan taqwa Allah azza wajjala. Adalah tidak logik kalau kita mengepung dia atau jahil terhadapnya atau tidak membunuhnya kerana dia itu adalah fitrah.Tetapi Islam yang agung itu telah datang membukakan tingkap-tingkap kebersihan. Kesucian dan kejernihan untuknya. Tingkap yang terbesar daripadanya ialah ucapan ini:

"Aku mencintai anda kerana Allah Taala".

Inilah perasaan persaudaraan dan cinta pada Allah (swt) menjadi sebesar-besar bekalan di hadapan arus kebendaan yang melanda ini. Itulah juga makanan bagi perasaan yang kelaparan yang menimpa banyak hati-hati.

Aku selalu mencium anak-anakku yang kecil semasa menyusu. Aku suka mencium mereka kerana aku merasakan kesenangan dan kebahagian di dalam diriku. Pada mulanya aku menyangka bahawa perbuatanku ini agak keterlaluan, tetapi pada suatu hari aku terbaca sesuatu mengenainya di dalam sirah junjungan kita Rasulullah (saw) yang agung. Peristiwa itu terjadi dalam peperangan Mu'tah, iaitu tatkala baginda pergi ke rumah Jaafar bin Abu Talib (ra) untuk memperhatikan anak-anaknya (Jaafar) setelah Allah (swt) memberitahu baginda tentang berita syahidnya (mati syahid) Jaafar (ra), perawi berkata: 

"Maka Rasulullah (s.a.w) mengambil anak-anak Jaafar (r.a) dan mencium-cium mereka". 

Jadi selepas aku membaca kalimah itu aku tidak dapat menahan sebak dadaku lantas menangis.


Wahai muslim yang berjiwa besar,

Penuhilah dunia ini dengan limpah kasih sayangmu. Khususkanlah buat saudara-saudaramu yang muslimin itu dengan kepanasan cintamu yang maha tinggi dan biarkanlah mereka tahu bahawa anda mencintai mereka. Yang demikian itulah al-aksir (batu geliga) untuk mengubati seribu satu kesulitan dan kesusahan. Sesungguhnya banyak kesulitan di dalam dunia ini timbul dari perasaan yang telah padam dan berlakunya penyelewengan perasaan itu.


Ya Akhi,

Sesungguhnya para pendukung da'wah Allah (swt) kepada manusia, dia mestilah berada di puncak kebersihan. Allah (swt) itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik. Oleh kerana itulah saudara tidak boleh membaca al-Qur'an, kecuali saudara dalam keadaan bersih. Da'wah yang ku cita-citakan ku harapkan darimu di masa akan datang, memerlukan kebersihan hatimu. Supaya hatimu dapat memberi dan menerima bersabar dan bertahan di dalam kesabaran, mudah mengampunkan dan bertoleransi, sanggup turun merendah diri ketaraf golongan yang lemah dan sanggup pula membawa mereka ke taraf orang-orang yang kuat, menghampiri manusia dengan perlahan-lahan supaya mereka tidak lari dan tidak membicarakan hak-hak orang lain kecuali dengan baik kerana anda mencari mereka untuk da'wah.

Firman Allah Taala:

“Maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia“.
(Fushshilat: 34)

 rahsia kejayaan adalah kebersihan hati

Semuanya itu anak kuncinya adalah kebersihan hati. Inilah rahsia kejayaan. Sesungguhnya kita ini tidak lama lagi akan berangkat dari dunia, oleh itu kita suka mengucapkan selamat tinggal kepada hidup ini, apabila kita telah menumpangkan da’wah ini (menyerahkannya) kepada para pemuda yang bersih hatinya. Allah (swt) mengetahui bahawa sesungguhnya apabila kita mencintai dunia ini maka sesungguhnya kita mencintainya kerana dakwah Allah (swt):

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati".
(Ali Imran: 185)

Firman Allah Taala:

"Dan tidak seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang dapat diusahakannya esok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati".
(Luqman: 34)

Realisasikanlah cita-cita ini di dalam dirimu dengan menjauhkan hatimu dari segala dendam, dengki, hasad dan sombong. Bersihkanlah laksana kebersihan air yang ditanamkan oleh awan, sucikanlah ia seperti kesucian salji tatkala tiba menyentuh bumi.

Ya Akhi,

Kau pernah mengutus kepadaku dan berkata:

"Demi Allah (swt) wahai akhi sekiranya umat mengetahui keadaanku tatkala aku membaca suratmu, nescaya anda tidak bertangguh lagi untuk menulis surat kepadaku dan memberi nasihat kepadaku dengan nasihat-nasihat yang baik yang indah yang menjadikan aku obor dari obor iman dan yang dapat merubah cara hidupku, dan jalanku. Sekiranya kamu mengetahui kesan suratmu itu kepadaku nescaya kamu menangis lantaran taufik Allah (swt) kepadamu dengan menulis surat itu kepadaku".

Aku merasa bahagia dengan kalimah-kalimah ini, jauh sekali untuk memuji atau memuja. Aku merasa bahagia dan bergembira kerana aku telah menemui hati seperti ini. Aku memohon kepada Allah Taala; supaya Dia memeliharamu, menjagamu dan menambahkan kepadamu, iman, taqwa dan ketahananmu di atas al-haq dan menunjukimu dengan Nur-Nya. Bekalan-bekalan ini anda akan pakai berjalan di antara manusia sebagai da'i yang menyeru manusia kepada Allah (swt), dengan hikmat dan perkataan yang baik. Sesungguhnya hikmat yang lahir dari hati yang berhubung dengan Allah (swt) sahajalah yang akan menyalakan lilin hidayah.

Sesungguhnya aku merasa bahagia dan kebahagiaanku itu lahir dari aqidahku. Sesungguhnya aqidah inilah yang mempersatu padukan kita di atasnya. Dialah yang menghulurkan kehidupan kepada kita dan kalimat-kalimatmu itulah yang menjadi saksi di atas yang demikian.

Sesungguhnya kamu telah memberi kepadaku thiqah (kepercayaan) yang benar bahawa kita ini cuai di dalam hak Islam kita. Padahal hati-hati itu terbuka pintunya untuk menerima dakwah kita, untuk mendengar bahkan untuk mendengar ruh risalah kita.

Dahulu aku pernah dengar:

"Sesungguhnya di dalam umat ini kedapatan lubang-lubang hati, tidak ada yang menutupinya dari kamu kecuali debu zaman".

Lantaran itu sapulah hati-hati itu dengan tangan kamu supaya dia mekar kembali seperti bunga. Inilah aku ingin menyapukan dengan penuh kasih sayangku. Aku akan pancarkan mata air kebaikkan ke dalam hatimu dengan limpah kurnia dari Allah (swt). Hendaklah ianya menjadi pelajaran kepada anda dan kepadaku. Supaya kita tidak cuai di dalam pengucapan kita (menyatakan rasa kasih) kepada saudara kita muslimin. Hendaklah kita menunjukan ucapan kita pada hati-hati manusia apabila kita sudah merasakan bahawa kita sudah benar-benar yakin dan ikhlas.Kerana Allah azzawajjala tidak akan menerima satu amal dan usaha jika kedapatan unsur-unsur syirik (menyekutukan sesuatu dengan Dia) samaada dari kita atau yang lain-lain.

Firman Allah Taala:

“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, Maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya".
(Al-Kahfi: 110)

Ya Akhi,

Di dalam perasaan yang murni ini aku berseru kepadamu, walhal di depanmu terbentang kehidupan, kebahagiaan dan bantuan. Padanya kedapatan kekuatan, makanannya, ubat, kesuburan, kesegaran, kawasan yang luas terdiri dari kebun-kebun, dan ladang-ladang. Cukuplah bagi aku di sini satu kegembiraan yang besar, kebahagiaan yang tidak terperi, kemeriahan yang mendalam di mana dunia seluruhnya tidak dapat membuatnya.

Hatiku sentiasa berkobar untuk meriwayatkan kekuatan yang hampir terbang lantaran gembira. Cita-citaku yang paling ku rindui, itu kelihatan jauh di ufuk sana ialah aku ingin melihatmu sebagai seorang tentera yang benar di dalam barisan tentera da'wah ini. Wahai Tuhanku; Kau amatlah Maha Mengetahui betapa besarnya cita-citaku terhadap saudara-saudaraku. Berikanlah kami kebahagiaan dengan menjadikan mereka angkatan laki-laki da'wah (rijalud da'wah) dan tentera aqidah yang mendukung amanah dan menyampaikan risalah.

Sesungguhnya kebiasaanku ialah aku mengucapkan selamat tinggal kepada saudara-saudaraku sebagai ucapan terakhir. Oleh kerana itulah aku benar-benar ingin hidup bersama mereka seberapa lama yang mungkin terutama apabila aku merasakan bahawa detik-detik kematian itu sudah terlalu hampir. Itulah satu perasaan yang sentiasa menguasaiku. Oleh kerana itulah aku suka mencurahkan segala rahsia hatiku pada hati-hati yang baharu. Sesungguhnya perasaan dan cinta kepada saudara-saudaraku adalah melebihi segala perasaan dan cinta.

Adakah sesiapa yang memperolehi cinta, kasih sayang dan perasaan seperti apa yang kita rasa ini. Inilah berkat persaudaraan kerana Allah (swt). Itulah keberkatan yang datang sebelum dan sesudahnya, berupa ruh Islam kerana inilah juga Muhammad (saw) dibangkitkan sebagai Rasulullah (saw) untuk membawa rahmat bahagia keseluruh alam. Alangkah perlunya hati-hati yang hilang, sia-sia dan merasai apa yang kita rasakan ini supaya dia kembali semula mengadap kepada Allah (swt).

Ya Ikhwani,

Sesungguhnya kamu telah berada di dalam alam ghaib dan tatkala itu da'wah ini menunggu-nunggu kemunculan kamu yang berkat, supaya kamu menjadi pelupur yang beriman. Dengan kehadiranmu Allah (swt) memuliakan agama dan denganmu, Allah (swt) merealisasikan cita-cita muslim. Lihatlah betapa air mataku mengalir dari kelopak mataku lantaran terlalu suka dan duka disebabkan limpah kurnia yang diberikan Allah (swt) kepada kita, berupa sambutan baik dan hangat dari hati-hati yang suci itu terhadap da'wah. Siapakah yang percaya bahawa setelah kita melalui ujlan dan bencana yang pahit itu, ada pula kedapatan para pemuda ini yang menyahut seruan Allah (swt) dengan sepenuh hati dan cinta yang hangat terhadap agama ini. Akan tetapi benarlah Allah (swt) yang Maha Agung:

Firman Allah Taala:

“Iaitu orang-orang yang mentaati perintah Allah dan rasul-Nya sesudah mereka mendapat luka (dalam peperangan Uhud)”.
(Ali Imran: 172)

Ya! kamulah orangnya (aku tidak mensucikan seseorang kepada Allah (swt) yang telah menyahut seruan Allah (swt) dengan sepenuh kekuatan dan keberanian.

Firman Allah Taala:

“Iaitu orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: "Sesungguhnya manusia (orang Quraisy) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, karena itu takutlah kepada mereka", Maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: "Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung".
(Al-Imran: 173)

Kamulah menjadi mata-mata dan hati-hati kami kerana di dalam diri kamulah terletaknya perbendaharaan da'wah kami dan penerusan hari-hari kami dan kami sentiasa mengharapkan tambahan lagi dari kalangan generasi yang dicita-citakan ini.

Ya Akhi,

Para penulis kita telah menulis di dalam perkara-perkara aqidah, mereka telah menulis di dalam perkara fiqhud da'wah dan berbagai-bagai sistem hidup dan mereka juga telah menegakkan hujjah-hujjah mereka yang boleh diterima akal, semoga Allah (swt) membalas mereka dengan ganjaran-ganjaran yang baik. Adapun aku ini pula mahukan perasaan yang merayu-rayu dan tangisan yang mempunyai sedu, deruan dan renungan serta curahan air mata. Jadi sesuatu jamaah yang memahami sentuhan ini dan mengenali hembusan, di naungi oleh cinta dan pemeliharaan/penjagaan dan disuburkan dengan thiqah (kepercayaan) dan persaudaraan adalah merupakan satu jama'ah yang tidak diragui akan sampai kepada darjat kesempurnaan. Orang-orang yang tidak mempunyai ruh seperti ini bahkan tidak merasainya
ataupun tidak memberikan haqnya, maka mereka akan kehilangan ciri-ciri kekuatan rohani yang paling utama yang menjadi rahsia harakah (gerakan) yang berterusan dan sentiasa memberi petunjuk.

Al-Islam itu adalah cita rasa, al-Islam itu adalah kesetiaan, al-Islam itu adalah perasaan dan sentimen. Agama ini bermuamalah dengan jiwa dan hati manusia. Agama ini tidak bermula dengan mempergunakan kekuatan anggota badan, dan tidak dengan kata-kata yang kasar, bukan juga dengan mengajak bertengkar dan mencabar, akan tetapi bermula dengan kata-kata yang baik dan pandangan yang pengasih.

Firman Allah Taala:

“Dan berilah mereka pelajaran, dan Katakanlah kepada mereka perkataan yang berbekas pada jiwa mereka "
(An-Nissa': 63)

FirmanNya lagi:

“Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas; “Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, Mudah-mudahan ia ingat atau takut".
(Thaahaa: 43-44)

Firman Allah Taala:

“Dan hendaklah ia berlaku lemah-lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan halmu kepada seorangpun”.
(Al-Kahfi: 19)

Dan Rasulullah (s.a.w) telah bersabda:

"Yang paling hampir majlisnya dari kamu kepadaku pada hari kiamat, ialah yang paling baik akhlaknya dari kamu, yang merendahkan bahunya, yang mesra dan dimesrai".

Firman Allah Taala:

"Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai aqal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya”.
(Qaaf: 37)

Ya Akhi,

Janganlah kamu lupakan bahawa bagimu ada saudara-saudara maka berusahalah memenangi hati-hati mereka dan berlemah lembutlah dengan mereka dan persatukanlah hati-hati itu dengan hati-hati mereka dengan ithar, ri'ayah, sabar dan cinta. (Ithar: melebihkan kepentingan saudaranya dari dirinya sendiri-pent.).

Bawalah nur ini dan tembusilah jahiliah ini dengan nur ini dan lemah lembut. Bacalah sirah Rasulullah (saw) tatkala kamu berada di dalam suasana hati yang lapang. Kerana sesungguhnya kamu akan mendapat keyakinannya bahawasanya Rasulullah (saw) telah memanjangkan segenap pengertian ini di segala gerakan (tindakan), perkataan dan isyarat.

Firman Allah Taala:

“Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam“.
(Al-Anbiyaa: 107)

Ya Akhi,

Aku tidak punya apa-apa kecuali doa. Setiap kali aku mengadap kepada Allah Taala tatkala aku berada di dalam mihrab salat aku terus berdoa supaya Dia menambahkan imannya dengan limpah kurniaanNya, semoga Dia menambahkan untukmu firasat, hati yang sentiasa hidup jiwa dan perasaanmu yang sentiasa sedar.

Sesungguhnya kita telah belajar di dalam da’wah ini sesungguhnya kita hanya akan meningkat naik kerana adanya cinta ini sehingga kita sampai kepada setinggi-darjat kehampiran kepada Allah (swt).

Seperti sabda Rasulullah (s.a.w):

“Bahawa Allah (swt) telah berfirman: Wajiblah cintaku kepada orang-orang yang berkasih sayang padaku."
(Hadith Qudsi)

Dan lihatlah sabda Rasulullah (s.a.w):

"Manusia akan dihimpunkan bersama-sama dengan orang yang dicintainya".

Semoga kamu dapat melihat kebenaran dari apa yang telahku sebutkan. Oleh kerana itu, cinta kita menjadi contoh yang tunggal dan unik. Wahai Tuhanku; teguhkanlah ikatan hati-hati kami dan himpunkanlah di antara kami di atas cinta padaMu.

Ya Akhi,

Kamu telah bertanya kepadaku tentang bagaimanakah cara da’wah pada pemuda dan uslub yang paling ideal untuknya. Aku merasa sungguh kagum dan gembira. Aku kagum kerana kamu telah berpindah dari keadaan orang yang diseru (mad’u) kepada keadaan orang yang menyeru (da'i). Inilah, yang aku harapkan dan aku cari-cari. Kegembiraanku adalah tidak terhingga dengan perpindahan yang mubarakah ini.

Kiranya dapatku tahu, bahawa kamu telah mempunyai ijazah, nescaya akan ku letakkan di antara dua tanganmu sekumpulan kitab-kitab yang penting, yang akan menjelaskan kepadamu apa yang kamu kehendakki. Tetapi apa yang aku harapkan sungguh-sungguh ialah supaya kamu berjaya terus terutama di dalam pelajaranmu kerana padanyalah akan diperolehi kejayaan untuk da'wah. Seorang saudara muslim itu wajib mempunyai kemahiran di dalam satu-satu jurusan hidup. Da'wah kita memerlukan ahli-ahli ikhtisas ilmiah yang mahir. Demikian juga dalam lapangan da'wah kita, setiap juru da'wah ini mempunyai ikhtisasnya yang tersendiri di antaranya:kebersihan hati, kebersihan jiwa dan mem¬punyai akhlak yang baik. Lahirnya bersih dan gayanya menarik.

"Sesungguhnya Allah (s.w.t) itu indah dan cinta kepada keindahan". (Hadith)

Allah (swt) tidak memandang kepada bentuk tubuh dan rupa kita dan tidak kepada fesyen pakaian kita tetapi Dia memandang kepada hati kita dan amal usaha kita.

Jadi bentuk jasmani dan rupa yang cantik tanpa akhlak dan perasaan, tanpa adab dan akhlak yang baik, tidak mem¬punyai sebarang nilai menurut timbangan Islam. Jadi kecantikan itu bukanlah pada bentuk lahiriah yang cantik. Kerana bentuk yang cantik dengan perbuatannya yang jahat adalah ibarat tanah dengan tanah (yang hina) dan cinta yang musnah. Di samping kita menuntut kamu membersihkan lahir dan batin kamu, kita juga menuntut supaya kamu mempunyai kefahaman yang cukup (keutamaan) di segala lapangan dan jurusan yang kamu masuki.
  
Bagaimana kita berda'wah?

 Sekarang marilah kita kembali semula kepada tajuk dakwah dan bagaimana kita berda'wah?

Disini aku menjelaskan beberapa perkara kepada kamu: 

aku berkata:

“Bahawasanya da'wah itu memerlukan persediaan yang mencukupi, kemudian memerlukan pembentangan yang ikhlas yang disertai dengan kemesraan terhadap orang yang diseru".

Da’wah ini menghendakki kefahaman yang teliti bagi tiap marhalah (peringkat) dan tujuan-tujuannya. Apakah yang kamu kehendaki di masa hadapan dan apakah yang kamu akan capai pada kesudahannya, apakah jalannya untuk merealisasikan tujuan-tujuannya.


as-syahid al-Imam Hassan al-Banna


Untuk itu kamu wajib membaca risalah-risalah al-Imam Hassan al-Banna termasuk segala buku-bukunya,catitan-catitannya dan kitab-kitab yang bersangkutan dengan pengertian ini. Di samping itu kamu wajib membaca dan mempelajari sejarah da'wah ini semenjak dari permulaannya dan musibat-musibat, bencana-bencana, ujian-ujiannya (mihnah-mihnah) dan kesusahannya yang telah dilaluinya. Jalan yang paling munasabah untuk mengetahui itu semuanya ialah mendengarnya dari saudara-saudara yang terdahulu yang hidup bersama sepanjang jalan da’wah yang susah ini.

Hendaklah kamu berkubu (persiapkan diri) dengan faham yang baik terhadapkesyumulan (kelengkapan) agama. Untuk ini hendaklah kamu membaca kitab-kitab yang berfaedah yang menolong kamu mengetahuinya secara menyeluruh seberapa mungkin.

Di samping berbagai faktor, apa yang perlu bagi kamu adalah memperbaiki niat kamu, kamu bercakap dan memberi peringatan yang berguna kepada orang-orang yang beriman.

Di sini ingin aku bentangkan di hadapan kamu satu masalah yang biasa berlaku, tetapi penting iaitu janganlah gopoh dalam memulakan sesuatu bicara dengan sebarang individu. Janganlah memulakan pembicaraan yang lengkap sebelum mereka bermesra dengan kamu, mencintai kamu, mempercayai kamu. Kemungkinan-kemungkinan ini hanya akan terjadi dengan kesabaran yang baik, ketenangan, pendekatan yang perlahan-lahan, mesra secara kebijaksanaan yang memasuki hati-hati manusia, senyuman manis, pandangan yang ikhlas, mengambil berat sambil bertanya tentang siapa yang ghaib dan menziarahi yang sakit dan lain-lain lagi.

Sebahagian dari para pemuda itu bergopoh gapah dan kadangkala berlaku pertembungan dan konflik di permulaan jalan, di mana dia tidak mendapat taufiq dan kejayaan. Ini boleh membuatnya terkejut dan surut kembali kerana terkejut.Sesungguhnya menyeru manusia kepada Allah (swt) dan bersabar kerananya adalah jihad.

Antara wasilah (media) atau cara yang berjaya di dalam da'wah adalah, kamu memasuki hati manusia dengan lemah lembut. Kamu maju mendekatinya selangkah demi selangkah walaupun mengambil masa yang lama kerana yang penting di sini adalah kamu sampai kepada tujuannya. Apabila kita telah berjaya menawan hati ini, secara automatik aqal akan menyahut, fikiran pun betul dan luruslah jalannya. Jika kamu telah berjaya menawan hati manusia dalam pertemuan yang pertama itu di samping itu kamu dapat pula menyalakan da'wah kamu kepadanya, janganlah kamu mencuaikannya.

Cara atau uslub yang pertama memerlukan masa, kesabaran dan kesungguhannya tetapi jalan itulah yang aman terutamanya apabila kebatilan menyaingi kamu, merebut mad'u (orang yang diseru) kamu. Tetapi biasanya pada akhirnya pendukung al-haq dapat merebut orang yang mempunyai hati selagi mad'u itu mempunyai kebaikan dan kebenaran. Benarlah ada orang yang berkata:

"Di antara kemenangan dan kekalahan itu (hanya dipisahkan oleh) sabar sesaat".

Aku gembirakan kamu dengan berita itu:  

bahawa kamu akan tetap dapat memenangi hati yang mudah menerima seruan kamu dan kamu akan mendapati ramai orang-orang yang berpuas hati dan itulah kemenangan yang segera untuk kegembiraan orang mu'min. Yang penting pada kesudahannya, kamu mesti sentiasa berada di dalam gerakan (harakah) dan suasana da'wah yang terus menerus, kerana orang yang sentiasa bergerak, amal dan sentiasa berkembang di setiap langkahnya.




bagaikan pokok yang hidup tanpa buah

Mereka yang hidup tanpa harakah da'wah adalah hidup bangkai, dia wujud tetapi seperti tiada dan tidak mempunyai bekas dan kesan. Dalam kehidupan realitinya, ia tidak dapat memberi dan tidak berbuah diibaratkan seperti kayu ru hidup tinggi menjulang tetapi tidak mempunyai buah. Kedudukan asal seorang muslim, kerana Lailahaillallah yang tersemat di dalam hati orang yang mukmin itu ibarat sebatang pokok.

Firman Allah Taala:

“Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya”.
(Ibrahim: 25)

Jadi muslim pada zatnya boleh berbuah dan berhasil apabila dia istiqamah di dalam al-haq, demikian juga pada uslubnya, pada akhlaqnya, pada muamalahnya, pada sinar wajahnya, pada senyumannya, pada lemah lembut kira bicaranya dengan saudara-saudaranya, pada kesungguhan menyempurnakan janjinya dan pada pergaulannya yang baik. Ini dengan sendirinya menjadi kehidupan kebahagiaan dan da’wah.

Dalam suasana payah itu, aku pergi menemui seorang saudara yang soleh dan dipercayai. Aku duduk bersamanya dan ku curahkan kepadanya segala apa yang bergolak di dalam jiwaku yang penuh dengan berbagai-bagai azab, kesakitan, perasaan yang harus ku dedahkan kepadanya menurut syari'ah. Setelah itu aku kembali dengan perasaan lapang seolah-olah tidak pernah terjadi sesuatu. Siapakah yang dapat menolong kita meringankan beban mental seperti ini kalau tidak dari hati yang pengasih, kita menyirami cinta dan kasih sayang?

Kita telah tinggalkan segala kelab, kedai kopi, tempat hiburan yang sia-sia malah kita redha berada di dalam lingkungan hati-hati manusia, jiwa-jiwa mereka, bersama dengan perasaan bersih dan suci. Hati-hati seperti inilah yang memberi kelapangan kepada kita, yang melimpahkan kasih sayang kepada kita dan memberi kita rahmat cinta dan menyapu air mata kita.

Firman Allah Taala:

“Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi Penyayang terhadap orang-orang mukmin”.
(At-Taubah: 128)

Janganlah kita lupa bahawa di sinilah terletaknya rahsia ikatan persaudaraan yang tidak harus kita abaikan.

Ya Akhi Al Muslim,

Wahai putera Islam, wahai putera al-Quds, wahai putera Palestin, wahai putera harapan yang dicita-citakan. Wahai putera Islam yang kita tunggu-tunggu untuk menghapuskan longgokan sampah sarap ini. Angkatlah bendera Islam. Wahai putera Islam yang diharapkan mencapai kemuliaan yang teguh, wahai putera Islam yang ditunggu-tunggu menjadi sumber kebaikan, kemuliaan dan kehidupan, di mana kamu sekarang?

jadilah hambaNya yang ikhlas

Marilah, sambutlah harapan yang dicita-citakan ini. Jadilah kamu hamba Allah (swt) yang sujud, yang ruku', yang berzikir, yang membaca. Bulatkanlah tenaga dan kemahuanmu, belajarlah dan kuatkanlah keazamanmu untuk menjadi tentera Allah (swt) yang ikhlas. Aku dengan sepenuh ketulusan cintaku kepadamu, kamu bercita-cita dan terus berusaha untuk merealisasikannya dan beramal kerananya. Tidak ada cita-cita yang lebih besar daripada Islam dan tidak ada permulaan dan kesudahannya yang lebih mulia daripadanya.


-Almarhum Syeikh Abbas As-Sissi-



bersambung dalam risalah kedua..